Maybank kekal sebagai bank pilihan

KUALA LUMPUR 8 Feb. – Maybank yang akan mengumumkan keputusan kewa­ngan bagi suku keempat 2018 pada 26 Februari ini kekal sebagai pilihan utama RHB Research Institute dalam kalangan bank-bank di Malaysia.

RHB Research ber­kata, untuk itu pihaknya mengulangi saranan ‘beli’ ke atas saham-saham Maybank dengan harga sasaran tidak berubah pada RM11.00 sesaham.

“Kami nampak ri­siko sedikit ke­kurangan di­sebabkan oleh pen­dapatan bukan faedah yang lebih lemah berbanding jangka­an. Namun kualiti aset kekal stabil,” ka­ta­nya dalam nota penyelidikan di sini hari ini.

Katanya, ketidaktentuan dalam pertumbuhan global merupakan kebimbangan utama terhadap ­institusi perbankan pada 2019.

“Maybank dijangka merekodkan pertumbuhan dalam pinjaman pengguna walaupun kurang mantap berban­ding tahun-tahun sebelumnya.

“Persaingan dari segi deposit masih wujud dan pengurusan menunjukkan kesediaan untuk menaikkan kadar apabila diperlukan,” katanya.

Firma penyelidikan itu menjangkakan Maybank merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM2.02 bilion, naik tiga peratus berbanding suku sebelumnya bagi suku keempat tahun kewangan 2018 dan RM7.81 bilion bagi tahun kewangan penuh 2018.

Bagi ekonomi dalam negara, RHB Research berkata, pihak­nya dapat melihat beberapa dasar yang kukuh daripada kerajaan baharu walaupun terdapat beberapa perkara lagi perlu dilakukan.

OKU hasilkan lukisan RM1,000 guna kaki

KUALA NERUS 23 Jan. – Seorang pelukis istimewa yang dilahirkan tanpa ke­dua-dua belah tangan, Razali Rohani, 36, tidak menyangka hasil karyanya yang bertemakan pemandangan mampu terjual hingga RM1,000 sekeping.

Razali yang lebih mesra de­ngan panggilan Abang Chik berkata, lukisan bertuahnya itu dibeli seorang peminat seni sewaktu menyertai pameran di Balai Seni Negara di Kuala Lumpur sekitar tahun 1998 dahulu.

Bagi bapa kepada seorang anak perempuan berusia empat tahun ini, melukis menggunakan kaki kanan bukan suatu tugasan yang sukar kerana kemahiran itu sudah dilakukan sejak 23 tahun lalu.

“Saya mula belajar melukis di pusat pemulihan di Cheras ketika berusia 13 tahun kerana merasakan saya tidak ada apa-apa kebolehan.

“Sejak itu saya terus melukis bagi menyara kehidupan keluarga menerusi jualan yang diuruskan Persatuan Artis Lukisan Mulut dan Kaki (MFPA) sebagai badan yang bertanggungjawab memasarkan karya pelukis istimewa seperti saya,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Mengabang Lekor, di sini hari ini.

Keistimewaan yang dimiliki Razali mendapat perhatian kalangan pengguna laman sosial di negeri ini apabila dia buat pertama kalinya membuat jualan lukisan di pasar minggu di Pantai Teluk Ketapang di sini pada Jumaat lalu.

Siapa sangka dalam tempoh hanya kurang tiga jam dia berjaya menjual lima keping lukisan walaupun pada harga yang jauh lebih rendah daripada harga minimum jualan yang ditetapkan pihak persatuan.

Razali berkata, dia telah menghasilkan lebih 80 keping lukisan hingga kini sejak terikat dengan MFPA.

Katanya, setiap bulan dia perlu menghasilkan lima lukisan untuk dihantar kepada pihak persatuan dan mampu menjana pendapatan hingga RM2,000 sebulan.

Menurut suami kepada Siti Rosuzi Zawawi, 29, itu lazimnya dia melukis pada waktu malam bermula pukul 11 hingga 5 pagi dan cenderung terhadap lukisan alam sekitar dan bermotifkan bunga.

“Saya berharap suatu hari nanti saya dapat buka galeri untuk pamerkan semua karya saya,” katanya.

Sumber: Utusan Online